
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat memulakan Keberangkatan Negara di Moscow, Persekutuan Rusia, bermula dengan menghadiri Upacara Peletakan Karangan Bunga; Majlis Sambutan Negara; Majlis Perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia; Majlis Mesyuarat Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia; Sidang Media Bersama; dan Majlis Persantapan Tengah Hari dan Tete-a-Tete dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
UPACARA PELETAKAN KARANGAN BUNGA
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Tomb of the Unknown Soldier di Alexander Gardens, Moscow, telah dijunjung oleh Colonel General Sergey Kuzovlev, Moscow Military Commander dan Director of State Protocol.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan meletakkan karangan bunga di Tomb of the Unknown Soldier dan bertafakur sejenak bagi memberi penghormatan kepada parajurit yang telah gugur.
Upacara tersebut juga menyaksikan perarakan kawalan kehormatan.
Terletak berhampiran tembok bata merah di bahagian barat Kremlin di Alexander Garden, Tomb of the Unknown Soldier merupakan tugu peringatan perang kebangsaan Rusia yang paling syahdu, didedikasikan kepada jutaan tentera Soviet yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua. Dirasmikan pada bulan Mei 1967, lokasi ini kekal sebagai pusat peringatan kebangsaan, diawasi oleh para pengawal daripada Rejimen Kremlin yang berdiri kaku, yang mana upacara pertukaran pengawal setiap jam sering disaksikan oleh orang ramai dalam suasana yang hening setiap hari.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
